Buang ibu di Aidilfitri..


JOHOR BAHRU: Sekeras-keras batu, keras lagi hati seorang anak lelaki yang tergamak memecut kereta meninggalkan ibunya.

Lebih memilukan, dia tergamak membiarkan wanita tua itu berlari mengejarnya kira-kira 20 meter kerana mahu mengikut si anak pulang menyambut Aidilfitri di rumah.

Namun, apalah kudrat seorang wanita berusia 70-an, apatah lagi terpaksa menggendong bungkusan baju dalam kain batik, untuk mengejar kereta anaknya berusia 40-an yang semakin jauh meninggalkannya.

Ia bukan babak menyayat hati dalam drama televisyen, tetapi realiti hidup ditempuhi seorang penghuni rumah jagaan warga emas dan psikatri di Jalan Denai 1, Kempas di sini, yang begitu mengharapkan untuk pulang menyambut hari raya bersama anak dan cucunya di Masai, dekat sini.

Kisah sedih pada pertengahan Ramadan itu diceritakan Pengasas Persatuan Kebajikan Nur Ehsan Negeri Johor, Norijah Bidin kepada wartawan Harian Metro, semalam.

Menurut Norijah, beliau masih mengingati detik cukup menyentuh perasaan itu, apatah lagi kakitangan rumah jagaan berkenaan terpaksa memujuk warga emas uzur terbabit supaya bersabar dan wanita tua itu hanya mampu menangis mengenangkan nasibnya ditinggalkan anak sendiri.

Katanya, kejadian bermula apabila lelaki berkenaan datang menziarahi ibunya di rumah penjagaan itu bagi memaklumkan dia tidak dapat dibawa pulang pada hari raya kali ini kerana tiada sesiapa menjaganya.

“Kami menyangka dia ingin membawa ibunya pulang bagi menyambut Aidilfitri kerana sudah dua tahun wanita berkenaan beraya di sini,” katanya ketika ditemui.

Menurutnya, terlalu seronok dengan kunjungan anak lelakinya, wanita tua terbabit terus menyalin pakaian dan bersiap untuk mengikut pulang ke rumah keluarganya di Masai.

“Kami melihat wanita itu bersungguh-sungguh membungkus pakaiannya ke dalam kain batik kerana mahu pulang ke rumah anaknya,” katanya.

Menurut Norijah, tanpa disangka-sangka, ketika si ibu sedang sibuk berkemas, lelaki berkenaan beredar dari situ secara senyap-senyap tanpa memaklumkan sesiapa.

“Menyedari anak lelakinya mahu beredar, wanita itu panik dan mengejar kereta anaknya yang mula meninggalkan kawasan rumah kebajikan.

“Wanita tua itu berlari kira-kira 20 meter untuk mengejar kereta berkenaan, tetapi anaknya tetap meninggalkannya.

“Si ibu yang terkilan dengan perbuatan anaknya bukan saja mengalami masalah kesihatan, malah kemurungan selama beberapa hari kerana hampa tidak dapat pulang beraya di rumah,” katanya.

Norijah yang bertugas sebagai jururawat di Hospital Permai di sini, berkata daripada 11 warga emas yang mendapatkan perlindungan di pusat jagaan berkenaan, segelintir masih mempunyai ahli keluarga termasuk anak.

Menurutnya, lebih mengecewakan, waris warga emas berkenaan yang juga bekas pesakit psikiatri tidak datang menjenguk mereka menjelang 1 Syawal yang bakal tiba.

“Ia mengakibatkan warga emas itu menyambut Aidilfitri bersama penghuni lain di pusat jagaan ini walaupun mereka merindui suasana beraya dengan keluarga di kampung.

“Sempena Aidilfitri kali ini, kami amat berharap jika anak warga emas mahupun waris penghuni di sini, datanglah berkunjung bagi menggembirakan mereka. Kalau bukan selalu, setahun sekalipun cukuplah,” katanya.

Baru-baru ini, pusat jagaan berkenaan menerima kunjungan lebih 20 ahli Persatuan Usahawan Wanita Bumiputera Malaysia (Usahanita) Negeri Johor di sini.

Pengerusi Usahanita, Datuk Rokiah Omar, tampil menyampaikan sumbangan pakaian, wang dan barangan keperluan harian kepada penghuni rumah kebajikan itu bertujuan memeriahkan sambutan Aidilfitri mereka.

Rokiah berkata, pihaknya akan berusaha membantu rumah kebajikan berkenaan yang turut berdepan masalah kekurangan kemudahan.

“Kami akan berusaha bagi mendapatkan van selain kemudahan kerusi roda bagi warga emas yang uzur supaya memudahkan mereka bergerak,” katanya.

Sumber: Mary Victoria Dass, Harian Metro Online.

*Sedihnya bila baca laporan akhbar ni. Buat saya menangis.. Bagaimana lah seorang anak boleh tergamak meninggalkan ibu yang mengandungkannya selama 9bulan sebegitu rupa? Tak kan lah tak ada sedikit pun rasa simpati pada ibu kandungnya sendiri? Bayangkanlah betapa hampanya hati si ibu tu setelah diberi janji palsu.. Alasan tak ada orang untuk jaga si ibu lansung tak boleh diterima akal. Kalau saya lah jadi pengurus Rumah Kebajikan tu saya ambil gambar kereta si anak tu hantar kat Berita Harian letak kat muka depan biar jadi iktibar buat orang lain.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s